Sahabat Sejati Menurut Perspektif Islam
SAHABAT SEJATI
“Sebaik baik sahabat disisi Allah ialah orang yang terbaik
terhadap temannya dan sebaik baik jiran disisi Allah ialah orang yang
terbaik terhadap jirannya” (H.R al-Hakim)
‘Teman yang paling baik
adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah,
mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya
teringat mati..’
ALLAH SWT mencipta
makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia,
tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan
menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka
berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil
dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.
Inilah
antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai
bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat
ayat 13, yang bermaksud:
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan
kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan(dan beramah mesra antara satu sama
lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih
bertakwa. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam
pengetahuanNya.’
DALAM Islam faktor
memilih kawan amat dititikberatkan. Hubungan persahabatan adalah
hubungan yang sangat mulia, kerana kawan atau sahabat berperanan dalam
membentuk personality individu. Ada kawan yang sanggup bersusah-payah
dan berkongsi duka bersama kita, dan tidak kurang juga kawan yang nampak
muka semasa senang dan hanya sanggup berkongsi kegembiraan sahaja.
Pendek
kata sahabat boleh menentukan corak hidup kita. Justeru, jika salah
pilih sahabat kita akan merana dan menerima padahnya. Selari dengan
hadith Rasululah saw yang bermaksud: “ Seseorang itu adalah mengikut
agama temannya, oleh itu hendaklah seseorang itu meneliti siapa yang
menjadi temannya” (H.R Abu Daud). Bak kata pepatah Arab, “ Bersahabat
dengan penjual minyak wangi, kita akan menerima percikan wangiannya,
manakala bersahabat dengan tukang besi, percikan apinya akan mencarikkan
baju kita.”
Apakah ciri-ciri seorang
sahabat yang baik? Seorang bijak pandai berpesan kepada anak lelakinya:
“Wahai anakku, sekiranya engkau berasa perlu untuk bersahabat dengan
seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang sifatnya seperti
berikut:
- Jika engkau berbakti kepadanya, dia akan melindungi kamu;
- Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas balik persahabatan kamu;
- Jika engkau memerlu pertolongan daripadanya, dia akan membantu kamu;
- Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, dia akan menerimanya dengan baik;
- Jika dia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripada kamu, dia akan menghargai atau menyebut kebaikan kamu;
- Jika dia melihat sesuatu yang tidak baik daripada kamu, dia akan menutupnya;
- Jika engkau meminta bantuan daripadanya, dia akan mengusahakannya;
- Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), dia akan menayakan kesusahan kamu;
- Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, dia akan meringankan kesusahan kamu;
- Jika engkau berkata kepadanya, nescaya dia akan membenarkan kamu;
- Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya dia akan membantu kamu;
- Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya dia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.
- Dia membantumu menunaikan tanggungjawab serta melarang melakukan perkara buruk dan maksiat
- Dia mendorongmu mencapai kejayaan didunia dan akhirat.
Sebagai remaja yang terlepas daripada pandangan ayah
ibu berhati-hatilah jika memilih kawan. Kerana kawan, kita bahagia
tetapi kawan juga boleh menjahanamkan kita.
Hati-hatilah
atau tinggalkan sahaja sahabat seperti dibawah:
sahabat yang tamak: ia sangat tamak, ia hanya
memberi sedikit dan meminta yang banyak, dan ia hanya mementingkan diri
sendiri.
sahabat hipokrit: ia menyatakan bersahabat berkenaan
dengan hal-hal lampau, atau hal-hal mendatang; ia berusaha mendapatkan
simpati dengan kata-kata kosong; dan jika ada kesempatan membantu, ia
menyatakan tidak sanggup.
sahabat pengampu: Dia setuju dengan semua yang kamu
lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal
yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji
dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.
sahabat pemboros dan suka hiburan: ia menjadi
kawanmu jika engkau suka pesta , suka berkeliaran dan ‘melepak’ pada
waktu yang tidak sepatutnya, suka ke tempat-tempat hiburan dan
pertunjukan.
Hati-hatilah memilih
kawan, kerana kawan boleh menjadi cermin peribadi seseorang. Apa pun
berkawanlah kerana Allah untuk mencari redha-NYA.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar