Rabu, 27 November 2013

Solat adalah amalan wajib yang tidak boleh ditinggalkan. Walaupun sakit, fardu ini mesti ditunaikan apatah lagi jika sihat tubuh badan. Tidak mampu berdiri, kita boleh duduk. tidak mampu duduk kita boleh berbaring dan andai terpaksa menggunakan kelopak mata sekalipun kemestian ini mesti ditunaikan. Hanya pengsan, gila juga mati yang menghalang kita dari melakukannya. 

Samada solat sendirian atau berjemaah kewajipan ini tetap dituntut. Muafik atau pun masbuk kewajiban tersebut tidak terhenti disitu selagi hayat dikandung badan. Rukun kedua dalam haraki Islam ini menjadi pelengkap penyataan terhadap lafaz syahada kita. Siang mahu pun malam Islam telah memperuntukkan bagi setiap yang mengaku muslim mesti melakukannya. Suruhan ini dapat hayati kita melalui firman berikut:

Surah Hud melalui ayat 114 bermaksud:

Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. (Surah Hud:  ayat 114 )

Solat adalah tiang agama seperti yang diberitahu oleh kekasihNya.
"Sembahyang itu tiang agama barang siapa mengerjakan solat dia pasti menegakkan agamanya dan barang siapa tidak sembahyang atau solat dia meruntuhkan, merobohkan dan menghancurkan agamanya." (HR Al-Bukhari dan Muslim) 

Hebat dan peri pentingnya amalan solat tidak boleh dipertikaikan. Besar perbezaan antara orang yang solat dengan yang meninggalkannya. Beza antara orang muslim dengan bukan Islam adalah amalan solatnya seperti yang dilafazkan oleh Rasulullah SAW. 

"Yang membezakan antara seorang muslim, seorang islam, seorang kafir adalah meninggalkan solat." (HR Baihaqi)
Begitu luas pengajaran yang mampu kita cungkil dari ibadah yang diwajibkan pada malam Isra'  5 tahun sebelum Hijrah. Sebuah hadis dari Anas beliau mengatakan:

"Diwajibkan sembahyang ke atas Rasulullah pada malam Isra' dengan 50 waktu, kemudian ia dikurangkan lagi sehingga menjadi 5 waktu. Setelah itu Rasulullah diseru, "Wahai Muhammad, sesungguhnya percakapan di sisi-Ku tidak berubah. Sesungguhnya bagimu 5 waktu ini sama pahalanya dengan 50 waktu sembahyang".
(H.R. Ahmad & An-Nasa'ie)

Banyak khafiat dan kebaikan yang dapat kita kutip dari amalan yang satu ini, antaranya........

Kebersihan

Sebelum kita mengerjakan solat aspek kebersihan amat dititikberatkan. Kita diwajibkan mengambil wudhu terlebih dahulu, tanpa berwudhu solat kita tidak akan diterima.

Kita membersihkan tangan yang akan mengangkat takbir, sebagai membuktikan penyerahan diri kita pada yang Esa. Kita basuh mulut bagi membuang sisa-sisa makanan tapi yang lebih penting, mencuci anggota ini dari kata-kata jahat juga nista yang pernah kita ucapkan. Kita basuh hidung bagi membersihkannya dari kotoran  dan yang paling penting udara yang masuk didada sewaktu kita solat tidak tercemar dan bebas dari sisa hidu yang menjemput dosa.

Kita basuh muka yang akan bertentang dengan Pencipta kita agar serinya menjadi saksi dialam sana. Tangan dibasuh hingga kelengan sebagai bukti yang anggota penting ini bersih dari segala kotoran, kerana akan  anggota ini menjadi saksi penting sewaktu perbicaraan di Masyar. Sebahagian kepala dibersihkan untuk membuktikan yang dahi kita bersih sewaktu sujud kepada yang Esa. Telinga yang sering mendengar, sama ada baik juga yang kotor, kita bersihkan. Kaki dibasuh sebelum mengadap Yang Esa, agar langkah kita  menuju Masyhar sentiasa terpelihara dari sebarang dosa.

Sesungguhnya segala anggota juga pancaindera yang kita basuh bukan untuk kotoran fizikal tetapi kotoran yang kita tidak dapat lihat dan rasa.

Allah berfirman dengan maksudnya

“…..Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat dan Dia mengasihi orang-orang yang menyucikan (membersihkan) diri” ( Sebahagian.....Surah Al-Baqarah ayat 222)

Kita juga akan menjaga kebersihan pakaian juga tempat solat kita. Insya Allah kita akan menjadi insan yang mementingkan kebersihan dalam semua aspek kehidupan kita seharian.


Aurat

Dengan bersolat juga kita akan menjaga aurat. Samada lelaki juga wanita aurat mesti diutamakan sewaktu menunaikan solat. Tidak menutup aurat dengan sempurna akan mengakibat solat kita tidak diterima. Sesungguhnya bagi mereka yang menjaga auratnya didalam solat mesti mampu menjaga auratnya sepanjang masa.

"Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Sesungguhnya amalan solat kita akan memjadi pemangkin untuk kita menjaga aurat kita. Kita sentiasa berdoa agar solat yang kita lakukan mampu menjadikan kita seoramg muslim sejati. Mukmin juga mukminat  yang mampu menjaga aurat diluar waktu solat.


Menjaga Masa

Solat punya waktu tertentu untuk dikerjakan, bukan sebilangan waktu kita diwajibkan solat. Waktu solat subuh tidak boleh dikerjakan solat zuhur misalnya. Solat maghrib tidak boleh dibuat pada waktu isyak begitu juga sebaliknya kecuali dalam kes-kes tertentu. Insya Allah, mereka yang sentiasa menjaga solat diawal waktu akan menjadi orang yang teguh memegang janji. Mereka yang menjaga solatnya akan menjadi insan yang menghormati waktu yang terluang. Masa terluang pasti di isi dengan aktiviti yang berfaedah. Mereka tidak mahu menjadi insan yang kerugian seperti firman Allah....



Demi masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh
dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
Al-Asr : 1-3

Banyak lagi kelebihan yang boleh digali dari fadilat-fadilat solat. Ilmu yang terbatas menjadikan kita gagal menyerap kelebihah-kelebihan solat. Ayuh kita bangun dan kaji kelebihan dan keindahan solat. Semoga kelebihan dan keindahan solat dalam hidup kita seharian mampu menjadi batu loncatan fardu ini dicintai oleh umat Islam dan mungkin oleh bukan Islam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar